Sabtu, 31 Desember 2005

Zikir Munajat

Zikir PDF
Dapatkan himpunan bacaan Zikir Munajat dalam bentuk format PDF. Anda perlu hantarkan email ke doaharian@gmail.com dengan tajuk 'REQ ZIKIR'. Fail tersebut akan dihantar kepada anda melalui email. Ini adalah merupakan pemberian kepada pembaca-pembaca weblog Doa Harian. Anda boleh print out dan berikan kepada sesiapa sahaja yang anda mahu. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat InsyaAllah.

Bacaan Zikir Munajat ini sesuai di baca dengan alunan iramanya yang tersendiri. Tujuannya adalah untuk memudahkan kita mengingati zikir-zikir tersebut. Jika anda tidak biasa mendengar Zikir Munajat secara berirama, bolehlah bertanyakan kepada rakan-rakan ataupun guru-guru agama yang mungkin boleh mengajarkannya kepada anda secara lisan. Ataupun anda boleh tonton video yang saya sediakan di bawah sebagai panduan.

* Video bacaan Zikir Munajat oleh saudara Ustaz Badrul Amin.












Hubungi penulis


Link ke laman ini


Jika anda hendak link ke laman ini, sila gunakan link seperti di bawah ini:

Link: Doa Harian
URL: http://www.doaharian.blogspot.com/
Keterangan: Himpunan doa dan zikir dari Al-Quran dan As-Sunnah, Doa-doa pilihan, Kelebihan berselawat, Kelebihan Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir, Bacaan doa tertentu, Istighfar dan taubat, Adab dan kebaikan.


atau boleh juga gunakan link bergambar:

Size 125x125

Himpunan Doa Harian


<!-- Start Logo Insert -->
<a href="http://doaharian.blogspot.com/" target="_blank"><img src="http://tinyurl.com/yc862zw" width="125" height="125" border="0" alt="Himpunan Doa Harian"/></a>
<!-- End Logo Insert -->






Sila undi DoaHarian di sini:

Ukhwah.com :: Top Blog


Artikel pilihan


Apa itu rukun islam?

Apa itu rukun iman?
Hikmah berdoa
Panduan supaya doa diterima oleh Allah
11 doa yang cepat diperkenankan oleh Allah
10 sebab-sebab doa tidak diperkenankan oleh Allah
Adab-adab dalam berdoa
Waktu yang terbaik untuk berdoa
Hari-hari yang terbaik untuk berdoa
Bulan-bulan yang terbaik untuk berdoa
Tempat-tempat yang terbaik untuk berdoa

Pengertian sembahyang
Sejarah kewajipan sembahyang
Hikmah kewajipan sembahyang
Hikmah kepada agama
Hikmah kepada individu
Hikmah kepada masyarakat
Hikmah sembahyang berjemaah
Hukum meninggalkan sembahyang

Apa itu Aqiqah?
Hukum menjalankan aqiqah
Jenis binatang sembelihan
Umur binatang aqiqah
Sifat-sifat binatang aqiqah
Bilangan binatang aqiqah
Waktu sembelihan binatang aqiqah
Hukum daging aqiqah
Amalan yang dituntut selepas kelahiran bayi

Definisi 'Iddah
Hukum 'Iddah
Hukum 'Iddah ke atas lelaki
Pembahagian 'Iddah
Kenapa Islam mensyariatkan wanita ber'iddah?
Hukum bagi wanita yang ber'iddah
Hak-hak wanita dalam masa ber'iddah

Takrif perkahwinan
Hukum perkahwinan dalam islam
Hukum fardhu berkahwin
Hukum haram berkahwin
Hukum makruh berkahwin
Hukum sunat berkahwin
Hikmah pensyariatan perkahwinan
Apakah Rukun Nikah?
Permasalahan dan penjelasan berhubung Wali Nikah

Pengertian talak
Pensyariatan talak
Hikmah pensyariatan talak
Kenapa talak menjadi hak suami?
Hukum menjatuhkan talak
Rukun talak
Pembahasan Talak Sunnah dan Talak Bid'ah
Pembahasan Talak Raj'i dan Talak Ba’in

Pengenalan Ramadhan dan Syawal
Pengertian dan Keutamaan Ramadhan
Keistimewaan bulan Ramadhan
Pengertian dan keutamaan Syawal
Pengertian bertadarus
Adab bertadarus

Falsafah Haji
Hikmah Haji
Pengertian Umrah dan Haji

* * *

Permasalahan dan penjelasan berhubung Wali Nikah

Wali adalah orang yang memiliki kuasa penuh untuk menjalankan sesuatu akad nikah atau mengahwinkan seseorang perempuan. Wali juga berhak untuk melangsungkan sendiri sesuatu akad nikah itu ataupun mewakilkannya kepada juru nikah. Wali nikah terbahagi kepada 2 jenis iaitu,
1) Wali Nasab,
2) Wali Hakim.

Penjelasan Wali Nasab
Wali nasab adalah wali yang ada ikatan dan hubungan kekeluargaan dengan pengantin perempuan yang bakal dikahwinkan, mereka itu adalah seperti,
1) Bapa pengantin perempuan (Wali Akrab)
2) Datuk sebelah bapa
3) Saudara lelaki seibu sebapa
4) Saudara lelaki sebapa
5) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa
6) Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
7) Bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa
8) Bapa saudara dari pihak bapa sebapa
9) Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa
10) Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa sebapa
11) Bapa saudara kepada bapa yang seibu sebapa
12) Bapa saudara kepada bapa sebapa

Penjelasan Wali Hakim
Wali hakim adalah wali yang dilantik dan diberi tauliah oleh ketua atau kuasa pemeritah Islam kepada seseorang untuk mengakad nikahkan perempuan yang hendak berkahwin melalui cara berwalikan hakim. Bagi wilayah atau negeri yang pemimpin negaranya bukan beragama Islam ataupun negara yang didiami itu bukanlah sebuah negara Islam, wali hakim bolehlah dilantik oleh masyarakat Islam setempat dengan memilih mereka yang lebih alim serta mahir dalam selok belok agama.

Hukum meninggalkan sembahyang


Para ulama' telah sepakat mengatakan bahawa sesiapa yang ingkar kepada hukum wajib sembahyang, maka dia akan menjadi kafir dan dihukum murtad. Ini kerana kewajipanya telah disabitkan kepada dalil Al-Quran, Sunnah serta Ijma' Ulama'. Hukum menunaikan sembahyang adalah wajib ke atas setiap muslim yang telah berakal, baligh dan berada dalam keadaan suci. Pengertian suci ialah tidak ketika datang haid atau nifas, tidak berada dalam keadaan gila atau pitam. Bagi sesiapa yang meninggalkannya kerana malas dan menganggapnya satu perkara remeh dan mudah serta sering meninggalkannya, maka dia akan digelar sebagai seorang yang fasik dan penderhaka. Bersabda Rasulullah, 'Yang membezakan seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang'.

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda, 'Lima waktu sembahyang yang Allah wajibkan ke atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya dengan baik dengan tidak meringankan hak-Nya, maka Allah menjanjikan dia dimasukkan ke dalam syurga dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya, maka Allah tidak mempunyai janji dengannya. Jika Dia (Allah) mahu Dia akan menghukumnya dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuninya'. (H.R. Ahmad, Abu Daud & Al-Nasaei)

Firman Allah, 'Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka? Jawab orang-orang yang bersalah, 'Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang'. (Al-Mudassir : 42-43)

Bersabda Rasulullah, 'Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka Allah dan Rasul-Nya tidak akan bertanggungjawab terhadapnya'. (H.R. Ahmad)

Hikmah kepada masyarakat


Ibadah sembahyang dapat memperkuatkan dan menyatukan aqidah setiap anggota masyarakat serta memperteguhkan jiwa mereke. Ibadah sembahyang juga dapat memperkuatkan semangat kemasyarakatan, menyuburkan ikatan tali persaudaraan, menyatukan suara fikiran dalam melaksanakan setiap pekerjaan atau aktiviti harian.

Hikmah Pensyariatan Talak

  1. Talak adalah satu rahmat dari Allah kepada hamba-Nya yang membuka pintu penyelesaian terakhir kepada perselisihan dan pertelingkahan suami isteri apabila tiada jalan yang lain lagi yang boleh menyelamatkan mereka.

  2. Dengan sebab salah seorang dari suami isteri mengidap penyakit ang berat yang tidak tertanggung serta tidak mungkin akan sembuh.

  3. Dengan sebab kemandulan oleh salah seorang suami isteri yang tidak mungkin sembuh ang membawa kepada hilang kasih saying, menimbulkan kemarahan dan kebencian.

  4. Apabila ikatan dan hubungan kemesraan dan kasih saying antara suami isteri semakin meruncing , tidak lagi sehaluan dan tiada lagi kesefahaman malah sering berlaku pertengkaran dan pergaduhan sehingga tiada lagi jalan penyelesaian.

Pensyariatan Talak

Talak telah disyariatkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama’. Firman Allah, “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. ‘Al-Baqarah : 229)

Pada surah yang lain Allah berfirman, “Wahai Nabi, apabila kamu (atau umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan ‘iddahnya.” (At-Talaq : 1)

Penceraian Dalam Islam - Pengertian Talak

Talak dari istilah bahasa bermaksud meleraikan atau melepaskan ikatan. Pada istilah syara’ pula bermaksud meleraikan ikatan perkahwinan atau memutuskan akad perkahwinan dengan lafaz talak iaitu menggunakan perkataan yang khusus iaitu lafaz yang terang dan jelas yang membawa maksud talak ataupunmenggunakan lafaz kinayah iaitu lafaz sindiran atau kiasan.

11 Doa yang cepat diperkenankan oleh Allah


1. Doa dari para Malaikat.

2. Doa dari para nabi dan rasul.
3. Doa dari raja, pemerintah atau pemimpin yang adil.
4. Doa dari orang yang soleh dan bertaqwa.
5. Doa kedua ibu bapa ke atas anak-anaknya.
6. Doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.
7. Doa dari orang yang dizalimi atau dianiaya.
8. Doa dari orang yang berpuasa.
9. Doa dari orang tua dan kanak-kanak.
10. Doa dari orang yang sakit dan berada dalam kesusahan.
11. Doa dari orang yang keluar bermusafir pada perkara yang diharuskan oleh syara'.

Hikmah kepada agama


Ibadah sembahyang telah membentuk satu perhubungan di antara seseorang manusia dengan Tuhannya. Ia dilakukan untuk melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerahkan diri, jiwa raga serta segala urusan kehidupan harian kepada-Nya. Ibadah sembahyang juga dilakukan bagi mendapatkan keamanan, kedamaian, ketenangan dan keselamatan dari pencipta-Nya. Ibadah sembahyang juga membuka jalan kepada kejayaan dan kemenangan bagi mendapatkan pengampunan dari Tuhan di atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.

Firman Allah yang bermaksud, 'Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan, ia (berasa) sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat bakhil, kecuali orang yang mengerjakan sembahyang'. (Al-Ma'rij : 19-22)

Bersabda Rasulullah, 'Bagaimana pendapat kamu jika salah seorang di antara kamu mendapati di hadapan rumahnya ada sebatang sungai lalu ia mandi di sungai itu 5 kali dalam sehari. Apakah masih ada lagi kotoran pada badannya? Jawab sahabat, 'Sudah tentu tiada lagi kotoran padanya'. Kata Rasulullah, 'Maka demikianlah juga dengan sembahyang 5 waktu, Allah menghapuskan dengannya dosa-dosa itu'. (H.R. Bukhari & Muslim)

Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, 'Apabila seseorang hamba bangun bersembahyang, dibawa dosa-dosanya dan diletakkan di atas kepalanya ataupun di tegkuknya, maka apabila setiap kali ia ruku atau sujud maka berguguranlah dosa itu daripadanya'. (H.R. Ibnu Hibban)

Panduan supaya doa diterima oleh Allah


1. Memahami dan mengerti akan maksud serta makna doa yang diminta. Kita boleh menggunakan apa-apa juga bahasa sewaktu berdoa asalkan kita memahami dan mengerti akan maksud yang diminta itu. Namun sebaik-baik bahasa yang harus digunakan adalah Bahasa Arab kerana ia adalah Bahasa Al-Quran yang diturunkan oleh Malaikat melalui wahyu yang datang terus dari Allah s.w.t. Selain itu semua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah juga adalah dalam Bahasa Arab.

2. Berdoa dengan penuh keikhlasan hati serta merendahkan diri semata-mata hanya kerana Allah.

3. Berdoa dan meminta kepada Allah dengan sebenar-benar permintaan dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

4. Tidak berdoa dan meminta kepada sesuatu perkara yang mustahil, sesuatu perkara yang buruk atau pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.

5. Berdoa dengan penuh khusyuk dan keyakinan diri bahawa doa yang di pohonnya itu akan diperkenankan oleh Allah.

6. Berdoa, bertaqwa dan bertawakal kepada Allah iaitu dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan larangan-Nya.

7. Tidak pernah berputus asa didalam doanya sekalipun permintaannya itu lambat dimakbulkan oleh Allah malah sentiasa beristiqomah, sabar dan menyerah diri kepada Allah.

Apa itu Rukun Iman?

Rukun Iman itu ialah,

1. Beriman kepada Allah.
Dengan iman kita membulatkan keyakinan diri serta hati semata-mata kerana Allah. Secara positif menuju tauhid yang murni dan secara negatif menafika segala bentuk pemujaan kepada selain dari Allah.

2. Beriman kepada malaikat.
Dengan iman kita mempercayai wujudnya makhluk ghaib bernama malaikat yang melaksanakan tugasnya menurut perintah Allah. Wajib kita mempercayai alam ghaib seperti yang diberitakan Allah dan menolak segala bentuk benda ghaib yang tidak diberitakan Allah.

3. Beriman kepada kitab.
Iaitu kita mempercayai adanya kitab suci yang Allah turunkan kepada umat manusia melalui utusan-Nya bagi memimpin mereka ke jalan yang selamat. Kitab suci ini di akhiri dengan al-Quran.

4. Beriman kepada nabi dan rasul.
Dengan beriman kepada nabi dan rasul kita meyakini adanya manusia pilihan yang diutuskan oleh Allah untuk memberi petunjuk yang di akhiri dengan Nabi Muhammad.

5. Beriman kepada hari kiamat.
Dengan iman kita meyakini di sebalik kehidupan di dunia ini masih ada kehidupan lain yang kekal abadi buat selama-lamanya iaitu suatu tempat penentuan manusia sama ada ke syurga atau neraka.

6. Beriman kepada qada' dan qadar.
Dengan beriman kepada qada' dan qadar, kita meyakini di samping usaha yang dilakukan hanya Allah yang bakal menentukan dan segalanya terletak di dalam kekuasaan-Nya.

Apa itu Rukun Islam?

Rukun Islam itu ialah,

1. Mengucap dua kalimah syahadah.

'Aku bersaksi tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh-Nya'. Pengertian syahadah ialah mengabdikan diri, hati serta pengakuan lidah bahawa tiada Tuhan yang Maha Esa melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah rasul-Nya.

2. Mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.
Dengan mengerjakan solat kita telah menyerahkan seluruh jiwa raga meyembah Tuhan yang Esa di mulai lidah yang berzikir, tangan yang bergerak, mata, telinga dan fikiran yang berpusat dengan susunan rukun solat seperti yang diajarkan oleh Rasulullah.

3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
Dengan berpuasa kita telah mengekang hawa nafsu serta segala keinginan terhadap makanan, minuman dan menjauhi semua larangan semata-mata kerana Allah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya.

4. Mengeluarkan zakat.
Dengan mengeluarkan zakat kita telah menyerahkan sebahagian dari harta tersebut kepada mereka yang berhak menerimanya.

5. Menunaikan haji di Mekah.
Dengan menunaikan haji, kita telah melengkapkan diri sebagai seorang muslim. Segala kesusahan, dugaan dan cabaran yang ditempoh dengan rela hati dan sabar semuanya semata-mata kerana Allah.

Rukun talak

  1. Orang Yang Menjatuhkan Talak (Suami)
    Syarat-syarat bagi suami yang menjatuhkan talak itu mestilah,

    • Seorang suami yang mukallaf (berakal dan baligh)
    • Tidak dipaksa atau didesak oleh mana-mana pihak.
    • Talak yang dilakukan dengan kehendak sendiri.
    • Tidak dalam keadaan gila, pitam atau hilang akal.


  2. Lafaz Talak
    Lafaz talak pada hukum syara’ terbahagi kepada dua bahagian iaitu lafaz yang terang dan jelas (lafaz soreh) dan lafaz secara sindiran atau kiasan (lafaz kinayah). Talak jenis ini tetap jatuh sekalipun diucapkan dengan tanpa niat.

    • Lafaz yang terang dan ielas (lafaz soreh) ialah kata-kata yang diucapkan dan dapat difahami dengan jelas yang membawa maksud perceraian seperti kata suami, 'kamu aku ceraikan' atau 'kamu aku talak' atau 'kamu tertalak'.

    • Lafaz secara sindiran atau kiasan (lafaz kinayah) ialah kata-kata yang diucapkan yang boleh membawa kepada 2 maksud iaitu sama ada maksud talak ataupun tidak bermaksud untuk talak. Contoh seperti kata suami, 'Kamu lain.' Kata-kata ini boleh diertikan sebagai 'Kamu bukan isteriku lagi,'ataupun boleh juga diertikan sebagai, 'Kamu berlainan dari biasa.' Kata-kata sindiran dan kiasan seperti ini bergantung kepada niat individu yang mengucapkannya. Jika niatnya bukan untuk talak maka tidak jatuh talak itu tetapi iika memang dia berniat untuk talak maka jatuhlah talak tersebut.


  3. Orang Yang Dijatuhkan Talak (Isteri)
    Wanita yang dijatuhkan talak ke atasnya itu mestilah seorang isteri yang sah walaupun mereka masih belum bersatu atau masih belum bersetubuh.

Apakah Rukun Nikah?

Rukun nikah dibahagikan kepada 5 iaitu,

1. Pengantin lelaki
Pangantin lelaki mestilah seorang Islam, baligh, berakal, tidak berada dalam ihram atau umrah, tidak dipaksa kahwin, tidak beristeri lebih dari 4 orang, lelaki yang tertentu dan perempuan yang ingin dikahwininya itu bukanlah mahramnya.

2. Pengantin perempuan
Pengantin perempuan mestilah seorang Islam, tidak berada dalam ihram haji atau umrah, bukan isteri kepada seseorang, tidak berada dalam iddah dan perempuan yang tertentu.

3. Akad (Ijab & Qabul)
Di antara syarat-syarat akad ialah lafaz yang digunakan mestilah lafaz khas yang membawa maksud nikah atau kahwin serta tidak diselangi dengan perkataan yang lain dari maksud nikah atau kahwin di antara ijab dan qabul. Tidak boleh diselangi dengan diam yang lama antara lafaz ijab dan qabul. Hendaklah bersamaan maksud antara lafaz ijab dan qabul. Lafaz ijab dan qabul tidak dikaitkan dengan sesuatu perkara serta tidak dibenarkan had atau tempoh masa bagi perkahwinan itu.

4. Wali
Syarat bagi wali ialah mestilah seorang Islam, baligh, berakal, merdeka bukan seorang hamba, seorang lelaki yang adil, tidak dipaksa, tidak berada dalam ihram haji atau umrah dan bukan seorang lelaki yang fasik.

5. Dua orang saksi
Syarat-syarat bagi saksi ialah mestilah beragama Islam, baligh, berakal, merdeka bukan seorang hamba, dapat mendengar dan melihat dengan baik, tidak pelupa atau nyanyuk, memahami bahasa yang digunakan semasa lafaz ijab dan qabul dan tidak terkena atasnya menjadi wali.

Kenapa talak menjadi hak suami?

  1. Talak menjadi hak suami kerana suami yang membayar mahar perkahwinan, membiayai nafkah isteri dan menyediakan tempat tinggal. Oleh itu, seseorang suami akan lebih berhati-hati dalam membuat pertimbangan dengan memikirkan keburukkan daripada perceraian dan berfikir lebih jauh untuk bertindak pada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.

  2. Pada adatnya, kaum wanita lebih terpengaruh denga sikap emosinya berbanding dengan kaum lelaki. Oleh itu, jika diberikan kuasa untuk menjatuhkan talak, maka berkemungkinan mereka akan menjatuhkan talak hanya kerana sebab-sebab yang remeh–temeh dan pada perkara yang tidak sewajarnya yang boleh meruntuhkan rumah tangga.

  3. Apabila berlaku sesuatu penceraian, maka ia diikuti oleh beberapa perkara yang bersifat harta seperti membaya mahar tunai dan membiayai nafkah semasa ‘iddah. Semua bebanan ini ditanggung oleh pihak lelaki dan ini akan membuatkannya berfkir panjang sebelum menjatuhkan talak.

Pembahasan Talak Raj'i dan Talak Ba’in

  1. Talak Raj'i (rujuk)
    Talak Raj'i adalah talak di mana suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikannya itu dan diletakkan kembali di bawah jagaannya selama iddah masih belum tamat. Ini boleh dilakukan dengan niat dan keinginan yang semata-mata untuk merujuk kembali kepada isterinya.

  2. Talak Ba'in (nyata)
    Talak Ba'in adalah talak di mana suami tidak lagi dapat merujuk kembali akan isterinya atau dengan erti kata yang lain talak yang memisahkan sama sekali isteri dari suaminya. Talak Ba'in pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ba'in Sughra dan Ba'in Kubra.

    i. Talak Ba'in Sughra
    Talak Ba'in Sughra adalah talak yang kurang dari 3 kali. Maksudnya bila seseoranq suami menjatuhkan talak kali yang pertama (1) atau kali yang kedua (2) ke atas isterinya kemudian si suami tidak pula merujuk kembali akan isterinya itu sehinggalah tamat tempoh iddah, maka dengan sendirinya talak ini jatuh menjadi Talak Ba'in Sughra. Suami masih boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yang ditalak itu tetapi dengan syarat mestilah diakad nikahkan yang baru serta membayar mahar kahwin dan memenuhi syarat-syarat dan rukun perkahwinan.

    ii. Talak Ba'in Kubra
    Talak Ba'in Kubra adalah talak yang kali ke tiga (3) dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya. Dengan jatuhnya talak kali ke tiga ini, maka terpisahlah seorang isteri dari suaminya sama sekali. Pasangan yang bercerai pada bilangan talak yang ke tiga tidak lagi boleh dirujuk atau untuk berkahwin semula sehinggalah bekas isteri itu berkahwin dengan lelaki lain dan disetubuhinya. Selepas itu wanita ini bercerai semula dengan suami keduanya maka dengan cara ini suami yang pertama bolehlah berkahwin semula dengan bekas isterinya itu.

Adab-adab dalam berdoa


1. Berdoa dalam keadaan diri masih berwuduk serta bersih dari sebarang kotoran, hadas dan najis.

2. Memulakan doa dengan membaca 'Bismillah' dan ucapan memuji-muji Allah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad.

3. Mengadap ke Kiblat.

4. Memohon ampun dengan merendahkan diri serta mengakui akan kesalahan diri di atas dosa dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum berdoa.

5. Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta memahami segala isi kandungan dan maksud doa.

6. Berdoa dengan penuh khusyuk, tawaduk dan ikhlas serta merendahkan diri.

7. Mendahulukan doa dan permintaan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk mereka-mereka yang lain.

8. Berdoa dan mengulangi bacaan doanya sebanyak 3 kali bagi sesuatu hajat yang lebih berat atau yang lebih diutamakan.

9. Menghindari diri dari sesuatu yang ditegah dan dilarang oleh agama sama ada pada makanan, minuman, pakaian ataupun pekerjaan.

10. Berdoa untuk kaum muslimin dan muslimat secara seluruhnya untuk kesejahteraan mereka tidak kira yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

Hukum menjatuhkan talak

Pada pendapat jumhur Ulama’ Syafie, Maliki dan Hanbali mengatakan hukum talak pada asalnya adalah harus tetapi adalah lebih baik jika ianya tidak dilakukan kerana menyebabkan terputusnya ikatan kasih saying. Firman Allah,
Tidaklah kamu bersalah (tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu.
(Al-Baqarah : 236). Dalam surah yang lain,
Maka ceraikanlah mereka pada mas mereka dapat memulakan ‘iddahnya.
(At-Talaq : 1).

Walau bagaimanapun hukum talak tidak terkeluar dari hukum yang empat 4 iaitu haram, makruh, wajib dan sunat.

1. Haram

  • Haram kalau seseorang itu meyakini jika dia menceraikan isterinya pasti dia akan terlibat dengan perkara maksiat (zina) kerana ia sangat memerlukannya sedang dia sendiri tidak mampu untuk berkahwin lain.
  • Haram menceraikan isteri semasa haid dan nifas ataupun sewaktu isteri sedang suci dari haid lalu disetubuhi oleh suaminya.

2. Makruh

  • Makruh menjatuhkan talak bagi seseorang yang mempunyai keinginan berkahwin atau mengharapakan zuriat dengannya dan mengekalkan perempuan sebagai isterinya.
  • Suami menceraikan seorang isteri yang baik dengan tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya atau terdapat apa-apa kecatatan pada diri isterinya.

3. Wajib

  • Talak menjadi wajib apabila berlakunya perselisihan di antara suami isteri sedangkan hakim atau qadi dari kedua-dua belah pihak berpendapat pasangan ini memang patut bercerai kerana hanya itulah sahaja jalan yang paling selamat buat mereka.
  • Apabila suami melakukan ‘illa terhadap isteri (bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya). Dengan sumpah suami itu si isteri telah menderita kerana dia tidak digauli dan tidak pula diceraikan. Dalam masalah ini suami diberikan tempoh selama 4 bulan untuk kembali menggauli isterinya dengan membayar denda (kafarah) sumpah dan jika tidak dia wajib menceraikan isterinya.

4. Sunat

  • Apabila seorang suami merasakan yang ia tidak lagi mampu untuk menanggung nafkah isterinya dengan sempurna atau lebih baik.
  • Isteri tidak lagi menjaga maruah dan dirinya.
  • Isteri idak menunaikan hak-hak dan tanggungjawabnya kepada Allah dan suami.
  • Sering berlaku pergaduhan dan pertengkaran yang berterusan antara suami isteri.

10 sebab-sebab doa tidak diperkenankan oleh Allah


1. Kita mengaku mengenali Allah tetapi tidak pernah menunaikan akan hak-hakNya dengan melaksanakan segala surahan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Kita mengakui menyintai Rasulullah tetapi tidak pernah sekali pun mengikuti sunnahnya.

3. Kita mengakui bahawasyaitan itu adalah musuh yang paling ketat tetapi masih patuh dan mengikuti segala hasutannya.

4. Kita sering membaca kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah mengamalkan segala isi kandungnya.

5. Kita sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari seksaan api neraka tetapi dalam masa yang sama kita masih melakukan maksiat dan dosa.

6. Kita sering mengumpat dan mendedahkan keaiban saudara seagama kita tetapi tidak pernah melihat kepada keaiban sendiri.

7. Setiap hari kita mendapat nikmat dan rezeki yang Allah beri tetapi tidak pernah sekalipun mahu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.

8. Kita mengiringi dan mengebumikan jeazah di perkuburan tetapi tidak pernah mahu mengambil iktibar dari kematian itu.

9. Kita tahu dan yakin bahawa kematian itu pasti berlaku tetapi tidak membuat persiapan untuk menuju ke sana.

10. Kita sentiasa berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga dan ditempatkan bersama orang-rorang soleh tetapi tidak pernah berusaha mendapatkannya.

Jumat, 30 Desember 2005

Pengertian Umrah Dan Haji

Umrah ialah qasad mengunjungi Baitullah al-haram dalam keadaan beribadat dengan mengerja-kan tawaf, sa'i dan bergunting (bercukur).

Rukun Umrah:

1. Berniat Ihram Umrah.

2. Tawaf Kaabah 7 kali keliling.

3. Sa'i di antara Safa dan Marwah sebanyak 7 ka­li.

4. Bergunting (Tahallul).

5. Tertib.


Wajib Umrah:

1. Niat Ihram di Miqat.

2. Meninggalkan Larangan Ihram.


Haji
ialah qasad mengunjungi Baitullah al-ha-ram serta melakukan manasik dengan sifat-sifat yang tertentu pada waktu yang tertentu.


Rukun Haji:

1. Niat.

2. Wukuf di Arafah.

3. Tawaf Baitullah.

4. Sa'i (Safa - Marwah).

5. Tahallul (Bergunting/Bercukur).

6. Tertib pada kebanyakan rukun.


Wajib Haji:

1. Niat di Miqat.

2. Meninggalkan larangan Ihram.

3. Bermalam di Muzdalifah.

4. Melontar Jumrah Aqabah.

5. Bermalam 3 malam di Mina.

6. Melontar ketiga-tiga jumrah pada hari Tasy-rik.


Keterangan
:

Erti rukun; sekiranya meninggalkan sesuatu yang rukun, haji atau umrahnya tidak sah (batal) dan terpaksa melakukan amalan itu hingga selesai, walaupun terbatal.


Amalan wajib pula jika tertinggal sah haji atau umrahnya, tetapi diwajibkan dam (fidyah) ke I atas kekurangan itu.


Ulasan
:

Haji tidak akan lengkap jika tidak ditunaikan dengan umrahnya sekali. Oleh itu, berikut adalah cara-cara menunaikan jenis-jenis haji yang telah disenaraikan di antara rukun dan wajib serta sunat-nya.


Jenis-jenis Haji:

1. Haji lfrad.

2. Haji Tamattuk.

3. Haji Qiran.


Hampir 2/3 daripada jemaah haji dari negara ini melakukan haji Tamattuk. Kerana negara kita jauh dari Makkah, maka kebanyakan jemaah haji datang le­bih awal dan lama masa hendak berihram, hingga ke hari Nahar (10 Zulhijjah) yang membolehkan mereka bertahallul awal, selepas melontar jumrah Aqabah. Jika mereka melakukan haji Ifrad, tentulah sangat lama memakai ihram dan terpaksa berpantang-larang yang lama pula.

Pembahasan Talak Sunnah dan Talak Bid'ah

  1. Talak Sunnah
    Talak Sunnah atau talak yang diizinkan oleh Sunnah adalah talak yang dijatuhkan oleh suami yang telah menyetubuhi isterinya. Suami kemudiannya menjatuhkan talak ke atas isteri di waktu isteri sedang suci dari haid dan tidak pula disetubuh oleh suami dalam masa sucinya itu.

  2. Talak Bid'ah
    Talak Bid'ah adalah talak yang bukan berdasarkan kepada Sunnah iaitu apabila seseorang suami yang menceraikan isterinya di waktu isteri sedang mengalami haid atau nifas ataupun di waktu isteri sedang suci dari haid lalu disetubuhi oleh suami dalam masa sucinya itu. Talak Bid'ah adalah dilarang oleh agama kerana dibimbangi akan berlakunya penyesalan sekiranya berlaku kehamilan selepas dari perceraian itu.

Talak Yang Bukan Sunnah Dan Juga Bukan Bid'ah,
  1. Menjatuhkan talak ke atas isteri yang belum disetubuhi.
  2. Menjatuhkan talak ke atas isteri yang sedang hamil.
  3. Menjatuhkan talak ke atas isteri yang telah putus peredaran haid-nya atau isteri yang sudah tua.
  4. Menjatuhkan talak ke atas isteri yang masih kanak-kanak yang belum datang haid.

Pengertian dan keutamaan Syawal

Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan itu adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal, di antaranya:

1. Bulan Syawal adalah bulan keampunan.

Sabda Rasulullah s.a.w dan Ibnu Mas'ud r.a. yang maksudnya:

"Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidil Fitri, Allah Taala berfirman:

"Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Hari Rayajuga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka."

Lalu ada seruan: "Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.”

Maka Allah Taala berfirman: "Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni."
(ZubdatulWa'izhiina)

Syaitan dan nafsu sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia supaya terpesong dan jauh dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari Raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan."

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya."

Orang-orang yang berakal hendaknya dapat menahan dirinya pada hari Raya, dari segala macam nafsu syahwat serta dari segala yang dilarang, bahkan hendaknya selalu taat untuk-Nya.

2. Bulan yang dikabulkan doa dan Allah s.w.t melihat dengan rahmat kasih sayangNya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Fitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang."
(Durratul Wa'izhiina)

Awal pagi Syawal kita disunatkan sembahyang hari raya dan Allah s.w.t menjanjikan keredaan dan kempunan-Nya. Berkata Nabi s.a.w:

"Apabila Hari Raya Fitri, maka Allah mengirim para Malaikat. Maka para Malaikat sama-sama turun ke bumi di setiap daerah, lalu mereka berkata: "Hai umat Muhammad, keluarlah kamu semua kepada Tuhan Yang Maha Mulial" Maka ketika mereka teldh tampak keluar ke tempat solat mereka,

Allah berfirman: "Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku."

3. Bulan yang merupakan peringatan kepada hari akhirat.

Dikatakan juga:

"Sesungguhnya hikmah Hari Raya di dunia ini merupakan peringatan terhadap Hari Raya di akhirat. Apabila engkau melihat orang-orang, sebahagian dari mereka adayangpergi dengan berjalan, sebahagian lagi ada yang berkenderaan, sebahagian dari mereka ada yang berpakaian dan adajuga yang tidak berpakaian, sebahagian mereka ada yang memakai pakaian yang indah dan sebahagian yang lain ada beropakaian biasa dan sebahagian ada yang tertawa riang dan sebahagian lainnya ada yang menangis, maka ingatlah perjalanan di hari kiamat, sesungguhnya hai itupun demikian pula."

Kenapa Islam mensyariatkan wanita ber'iddah?

1. Tujuan Islam mensyariatkan 'iddah ke atas kaum wanita ialah untuk memastikan rahim wanita tersebut suci dari air mani suaminya pada saat ia diceraikan dan juga memastikan ia tidak hamil daripada lelaki yang menyetubuhinya sebagai langkah mencegah percampuran nasab dan keturunan.

2. Bagi wanita yang diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk, ini memberikan peluang kepada suaminya untuk memikirkan kembali saat-saat manis ketika mereka bersama dan kembali rujuk kepada isterinya setelah fikirannya kembali tenang.

Masa menunggu yang agak panjang ini memberikan peluang kepada pasangan suami isteri untuk menginsafi kembali kesalahan masing-masing dan mencari punca perselisihan antara mereka dan semoga itu mereka dapat bersatu semula.

3. Tujuan 'iddah juga supaya ikatan sesuatu perkahwinan itu dapatlah dipanjangkan waktunya dan pada tempoh itu adalah diharapkan kewarasan dan kematangan fikiran pasangan suami isteri yang berselisih dapat dipulihkan dan menghubungkan kembali persefahaman dan kasih sayang mereka.

4. Sewaktu melalui proses 'iddah banyak peluang yang boleh direbut oleh wakil dari kedua-dua belah pihak suami isteri bagi mencari jalan keluar dan perdamaian antara mereka dari perselisihan dan semoga dengan cara ini diharapkan dapatlah mempersatukan mereka semula serta menjauhi dari berlakunya perceraian.

5. Agama Islam meletakkan institusi kekeluargaan adalah sesuatu yang tinggi dan mulia terutama bagi pasangan suami isteri dimana hubungan kelamin bagi pasangan suami isteri tetap mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Tuhan. Agama Islam amat benci kepada perceraian dan keruntuhan institusi kekeluargaan di mana ia boleh membawa kepada lebih banyak lagi permasalahan sosial.

6. Bagi perceraian yang berlaku kerana kematian suami, tujuan 'iddah ialah untuk isteri menjaga hak-hak suaminya, kaum kerabat, menzahirkan perasaan sedih dan dukacita, membuktikan kesetiannya kepada bekas suami serta menjaga ama baik dan maruah diri dan keluarga agar tidak diperkatakan oleh orang lain.

7. 'Iddah adalah anugerah dari Allah untuk hamba-Nya yang membuktikan kasih sayang dan kesungguhan bagi memelihara dan menjaga keutuhan institusi kekeluargaan dalam Islam.

Keistimewaan bulan Ramadhan



Bulan Ramadan adalah bulan yang memiliki kesucian dan banyak keistimewaannya. Di antara keistimewaan-keistimewaan bulan Ramadan ialah:

1. Bulan yang terpilih untuk melakukan ibadah puasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas segala nikmat-Nya. Firman Allah s.w.t:

Terjemahannya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.(Al-Baqarah: 183)
2. Bulan yang telah dipilih oleh Allah s.w.t diadakan suatu malam yang sangat tinggi nilainya, iaitu malam ‘Lailatul Qadar'. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardhukan atas kamu berpuasa di dalamnya. Dibuka di dalamnya segala pintu Syurga, dikunci di dalamnya segala pintu Neraka dan dibelenggu di dalamnya segala syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan (malam lailatul qadar). Barangsiapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sesungguhnya tidak diberikan kebajikan kepadanya. (Riwayat Ahmad, An Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah)
3. Bulan yang dipilih untuk sembahyang tarawih pada malamnya. Sembahyang tarawih adalah sembahyang sunat yang hanya boleh dilakukan di bulan Ramadan. Setiap solat terawih mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sepanjang malam bulan Ramadan disunatkan untuk mengerjakan sembahyang tarawih secara berjemaah.

4. Bulan yang dipilih untuk kita membanyakkan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan sebagainya. Hanya di bulan ini dituntut kita melakukan ibadah sebanyak-banyaknya berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Bulan ini segala doa dan apa-apa yang diminta insya- Allah dimakbulkan Tuhan.

5. Bulan yang mana berlakunya kemenangan di pihak Rasulullah s.a.w menawan kota Mekah. Di saat itu berakhirlah penyembahan berhala di sisi Kaabah dan kota Mekah menjadi suci sebagaimana yang Allah s.w.t kehendaki.

6. Berlakunya Nuzul Al-Quran (penurunan Al-Quran) pada 17 Ramadan yang disambut setiap tahun sebagai memperingati kesempumaan Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

7. Dipelihara daripada dosa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Sembahyang lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan menutupi dosa-dosa yang dilakukan di antaranya, asal sahaja dijauhi segala dosa besar.
(Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
8. Dibuka pintu Syurga, ditutup pintu Neraka. Syaitan dibelenggu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Pada suatu hari aku berada di sisi Utbah bin Farqad sedang dia lagi menceritakan tentang hal Ramadan, maka datanglah kepada kami seorang lelaki dari Sahabat Rasul. Setelah orang itu dilihat oleh Utbah, diapun merasa takut lalu berdiam diri. Maka orang itu menceritakan tentang hal Ramadan, katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW berkata: "Di dalam bulan Ramadhan dikunci segala pintu Neraka, dibuka segala pintu Syurga dan dibelenggu segala syaitan. "Berkata Nabi lagi: "Seorang Malaikat berseru: "Wahai segala orang yang menghendaki kebajikan bergembiralah kamu dan wahai orang yang menghentikan kejahatan tahanlah dirimu. " Malaikat terus-menerus berseru, sehingga habis bulan Ramadan. (Riwayat Ahmad dan An-Nasai)
9. Mendapat perhatian, keutamaan dan ganjaran dari Allah Ta'ala. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadan lima perkara, yang belum pernah diberikan kepada seseorang Nabi sebelumku:

i) Dipermulaan bulan Ramadan Allah melihat kepada para umatku. Barangsiapa Allah melihat kepadanya, nescaya tidak diazabnya selama-lamanya.


ii) Bau mulut mereka di waktu petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.

iii) Para Malaikat memohon ampunan untuk mereka di setiap hari dan malam.

iv) Allah menyuruh kepada Syurga-Nya serta berkata kepadanya: "Bersiaplah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku. Mereka hampir beristirehat dari kepayahan dunia, menuju ke negeri-Ku dan kemuliaan-Ku.

v) Pada akhir malam bulan Ramadan, Allah mengampuni semua dosa mereka. "Seorang lelaki dari Sahabat bertanya: "Apa itu 'Lailatul qadar', ya Rasulullah? " Nabi menjawab: "Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, nescaya disempurnakanlah upah-upah mereka.
(Riwayat: Ahmad, Al Bazzar, Al Baihaqi dari Jabir)
10. Sejarah berlakunya perang Badar Al-Kubra. Kemenangan pihak Islam menjadi penentu sejarah kegemilangan Islam.

11. Para syaitan dirantai atau dibelenggu moga dengan itu maksiat berkurangan. Pada malam permulaan Ramadan, Nabi bersabda:
Pada permulaan malam Ramadan, para syaitan dan jin yang jahat dibelenggu serta pintu-pintu Neraka dikunci, tidak ada satu pun yang terbuka. Pintu-pintu Syurga dibuka dan tidak ada satu pun yang dikunci. Pada setiap malam ada yang memanggil: "Hai orang yang mendambakan kebajikan menghadaplah, dan hai orang yang mendambakan keburukan, menyingkirlah. Allah pada setiap malamnya akan membebaskan ramai orang dari Neraka.
Nyata sekali terlalu banyak keistimewaan dan kebajikan atau kebaikan di bulan Ramadan. Jadi tidak hairanlah para sahabat dan salafussoleh begitu merindukan saat-saat di bulan Ramadan. Kalau kita tahu pun sudah tentu rasa tertunggu-tunggu bulan Ramadan yang mulia.

Pengertian dan Keutamaan Ramadhan

Ramadan bererti bulan imtihan, iaitu bulan ujian. Bulan Ramadan juga dipanggil dengan bulan puasa kerana pada bulan itu umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan. Bulan Ramadan juga adalah merupakan bulan ibadah, bulan yang disebut dalam Al-Quran. Allah s.w.t memilih bulan Ramadan dari bulan-bulan yang dua belas dan menjadikannya bulan yang utama. Allah memilih bulan Ramadan untuk melimpahkan nikmat besar-Nya kepada para hamba-Nya dengan menurunkan Al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Ertinya:

Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan yang merupakan petunjuk antara yang benar dengan yang batil. (Al-Baqarah: 185)

Hukum 'Iddah ke atas lelaki

Orang lelaki tidak dikenakan sebarang 'iddah, oleh itu sekiranyaberlaku perceraian ataupun kematian isterinya, maka lelaki atau suami tersebut boleh berkahwin lagi dengan wanita lain selama tidak ada halangan dari hukum syara'.

Waktu yang terbaik untuk berdoa


1. Waktu sahur.
2. Waktu selepas azan.
3. Waktu 1/3 malam.
4. Waktu hujan lebat.
5. Waktu melihat Kaabah.
6. Waktu tawaf dan sa'ei.
7. Waktu setiap kali lepas sembahyang.
8. Waktu setiap kali lepas membaca al-Quran.
9. Waktu hampir untuk berbuka puasa.
10. Waktu berpuasa wajib atau puasa sunat.
11. Waktu di antara dua khutbah Jumaat.
12. Waktu di antara iqomah dan sembahyang.
13. Waktu berkumpul dalam majlis ilmu atau majlis zikir.
14. Waktu dalam kesedihan, kesusahan dan penderitaan.
15. Waktu semasa meminum air zam-zam.

Adab bertadarus

1. Berniat mengerjakan tadarus di bulan puasa adalah kerana Allah.

2. Tumpukan perhatian dan fikiran kepada ayat-ayat yang dibaca.

3. Fahami dan rasailah kebesaran dan kehebatan Allah.

4. Fahamilah kandungan atau ayat yang dibaca.

5. Jauhilah ingatan kepada permasalahan lain.

6. Anggaplah setiap ayat yang dibaca ditujukan kepada diri sendiri.

7. Apa yang dibaca biarlah terkesan di hati. Contohnya, ayat yang menyentuh tentang seksaan Neraka, datangkan rasa gerun dan takut di hati akan seksaan Neraka itu dan sebagainya.

8. Bacalah dengan jelas, teratur dan jika boleh dengan tajwid yang betul.

Pengertian bertadarus

Bertadarus ertinya membaca Al-Quran secara beramai-ramai sehingga tamat (khatam) terutamanya di dalam bulan Ramadan. Hukumnya adalah sunat. Keutamaan bertadarus ialah:

1. Setiap huruf daripada ayat Al-Quran yang dibaca, Allah beri satu kebajikan.

2. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak berisi ayat memohon keampunan, memohon kebajikan, memohon dijauhi seksaan Neraka dan sebagainya. Dengan membaca Al-Quran, secara tidak langsung kita berdoa dan memohon dari Allah. Allah akan memberikan sebaik-baik pemberian kepada orang-orang yang memohon kepadaNya.

3. Orang yang berpuasa dan bertadarus, mendapat syafaat dari puasa dan Al-Quran.

Hukum 'Iddah

Hukum 'Iddah pada syara' adalah wajib ke atas setiap wanita yang diceraikan sama ada dengan sebab 'Talak' ataupun dengan sebab kematian suami. Firman Allah, ' Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri (dari berkahwin selama 3 kali suci (dari haid)'. (Al-Baqarah : 228)

Firman Allah lagi, 'Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu sedang mereka meninggalkan isteri, maka hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (dengan ber'iddah) selama 4 bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis masa 'iddahnya itu, maka tidak ada salahnya bagi kamu (para wali) mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa juga yang kamu lakukan'. (Al-Baqarah : 234)

Hari-hari yang terbaik untuk berdoa

1. Malam Jumaat dan waktu siangnya.
2. Malam Hari Raya dan watktu siangnya.
3. Malam Lailatul Qadar.
4. Malam Israk dan Mikraj.
5. Malam Nisfu Syaaban.
6. Malam pertama bulan Rejab.
7. Hari Arafah.

Sejarah kewajipan sembahyang


Menurut pendapat yang masyhur dari kalangan ahli sejarah, ibadah sembahyang mula diwajibkan pada malam Isra' iaitu 5 tahun sebelum Hijrah. Ibadah sembahyang menjadi fardu 'ain (wajib) ke atas setiap mukallaf (berakal dan baligh). Sebuah hadis dari Anas beliau mengatakan, "Diwajibkan sembahyang ke atas Rasulullah pada malam Isra' dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, "Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu sembahyang".
(H.R. Ahmad & An-Nasa'ie)

Apabila seseorang kanak-kanak telah mencapai umur 7 tahun maka hendaklah di suruh melakukan sembahyang dan apabila ia mencapai umur 10 tahun maka hendaklah dipukul dengan tangan jika ia masih ingkar. Bersabda Rasulullah, "Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka".
(H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

Kewajipan melakukan ibadah sembahyang sehari semalam hanyalah 5 waktu dan kita sama sekali tidak boleh mempertikaikannya. Berpesan Rasulullah kepada Mu'az sebelum beliau diutuskan oleh Baginda ke Yaman, "Beritahulah kepada mereka bahawasanya Allah telah mewajibkan ke atas mereka 5 kali sembahyang dalam sehari semalam".

Hikmah pensyariatan perkahwinan

1. Perkahwinan amat digalakkan oleh Islam dan juga bagi menuruti Sunnah Rasulullah.

2. Perkahwinan telah diharuskan oleh syara' demi untuk memelihara individu muslim daripada terlibat dan tercebur pada perkara-perkara yang ditegah ataupun melepaskan nafsu mereka pada tempat-tempat yang haram.

3. Perkahwinan juga bertujuan untuk menjaga keturunan umat manusia daripada terus pupus dimana melalui perkahwinan maka akan lahirlah generasi baru dan keturunan juga dapat dikekalkan untuk selama-lamanya.

4. Ikatan perkahwinan dapat membentuk dan menjalinkan hubungan yang lebih intim bagi individu tertentu, merapatkan hubungan kekeluargaan anatara kedua belah pihak serta hubungan di antara anggota masyarakat akan menjadi lebih kukuh dan sempurna.

5. Melalui perkahwinan pasangan suami isteri dapat menyemai perasaan kasih sayang dan belas kasihan, tolong menolong dan bekerjasama, berkongsi segala masalah suka duka dalam mengharungi cabaran hidup serta lebih bertanggungjawab.

6. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah suatu amalan soleh dan diberikan ganjaran pahala oleh Allah.

Bulan-bulan yang terbaik untuk berdoa

1. Bulan Rejab.
2. Bulan Sya'aban.
3. Bulan Ramadhan.
4. Bulan Zulhijjah (Bulan Haji).

Kelebihan menziarahi orang sakit

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di jalan syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakannya hingga petang dan begitulah sebaliknya.



Hukum perkahwinan dalam islam

Perkahwinan dalam islam telah disyariatkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Firman Allah, 'Dan kahwinilah orang-orang bujang lelaki & perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan'. (Surah An-Nur : 32)

Dalil pensyariatan dari Sunnah, bersabda Rasulullah, 'Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya'. (H.R.Bukhari & Muslim)

Para ulama' telah membuat penentuan hukum dengan berdasarkan kepada kedudukan dan kemampuan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Para ulama' telah membahagikannya kepada 4 jenis hukum iaitu,

1. Fardhu
2. Haram
3. Makruh
4. Sunat

Waktu sembelihan binatang aqiqah

Waktu sembelihan aqiqah dilakukan pada hari ke 7 selepas kelahiran seseorang bayi. Imam Syafie dan Hanbali menegaskan, jika sembelihan itu dilakukan di luar dari waktu itu sama ada sebelum 7 hari ataupun selepas dari 7 hari ianya tetap memadai dan tidak menjadi apa-apa kesalahan. Dalam hal ini Imam Hanbali menambah, sesuatu aqiqah itu tidak harus dilakukan oleh orang lain selain dari bapa. Demikian juga aqiqah tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri walaupun setelah ia dewasa dan berkemampuan, ini kerana ia telah disyariatkan ke atas seorang bapa.

Hikmah kepada individu

Ibadah sembahyang yang dilakukan adalah untuk mendekatkan dan menghampirkan diri kepada Allah di samping dapat memperkuatkan semangat dan jiwa kita serta menjadi benteng kepada kerakusan dan keinginan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Ibadah sembahyang juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan kerehatan pada diri serta menjauhkan seseorang dari sifat lalai yang boleh memesongkan. Firman Allah, 'Dan mintalah (pertolongan kepada Allah) dengan jalan sabar dan kerjakanlah sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk'. (Al-Baqarah : 45)

Ibadah sembahyang juga melatih seseorang itu supaya lebih berdisplin dan bertanggungjawab serta sentiasa mengikut peraturan masa kerja dalam menjalankan urusan kehidupan seharian kerana ibadah sembahyang itu sendiri dilakukan pada waktu-waktu yang teratur dengan mengikut adab-adab dan rukunnya.

Dalam sembahyang seseorang itu dapat mempelajari perasaan lemah lembut dan rendah diri, bersopan dan berdisplin. Sembahyang juga dapat membentuk sifat dan peribadi seseorang supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, jujur, amanah, penyabar dan ikhlas. Firman Allah, 'Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu (dapat) mencegah (kamu) dari melakukan perbuatan keji dan mungkar'. (Al 'Ankabut : 45)

Hak-hak wanita dalam masa ber'iddah

1. Adalah menjadi hak bagi setiap wanita yang wajib ditunaikan oleh suaminya ketika berlaku perceraian, sama ada cerai talak atau cerai kematian iaitu untuk tetap mendapat tempat tinggal di rumah tersebut. Ini bermakna suami tidak boleh menghalau isterinya keluar dari rumah selagi tempoh 'iddah belum berakhir. Bagi 'iddah kematian suami pula, penentuan untuk memilih tempat tinggal adalah terpulang kepada wanita itu sendiri dan ia bebas untuk membuat keputusan kerana selepas dari itu ia sendiri terpaksa menanggung nafkah hidupnya.

2. Jika wanita yang diceraikan itu ber'iddah pada talak yang boleh dirujuk, maka wajib ke atas suami menanggung nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal. Ini kerana wanita tersebut masih dikira sebagai isteri selama ia berada dalam 'iddah.

3. Jika wanita yang diceraikan itu ber'iddah pada talak yang tidak boleh dirujuk lagi (Talak Ba'in), dalam hal ini Imam Maliki dan Syafie berpendapat bahawa wanita tersebut hanya berhak mendapat nafkah tempat tinggal sahaja.

Bilangan binatang aqiqah

Ulama' Syafie dan Hanbali berpendapat bilangan aqiqah untuk seorang anak lelaki adalah 2 bahagian ataupun 2 ekor kambing sedang bilangan aqiqah bagi anak perempuan pula cuma 1 bahagian ataupun seekor kambing. Sumber pendapat mereka adalah dari sebuah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, Rasulullah bersabda, 'Untuk seorang anak lelaki 2 ekor kambing yang sempurna dan untuk seorang anak perempuan pula hanyalah seekor kambing'. Bagi pendapat Imam Maliki pula beliau mengatakan memadai binatang aqiqah itu seekor sahaja sama ada untuk anak lelaki ataupun untuk anak perempuan.

Hukum menjalankan aqiqah

Ulama' Syafie mengatakan hukum melakukan aqiqah ini adalah sunat bagi mereka yang wajib membelanjakan nafkahnya dalam sesebuah keluarga. Bagi pendapat Ulama' Hanafi pula beliau mengatakan hukumnya adalah harus, ini kerana ibadah korban yang disyariatkan telah membatalkan semua bentuk sembelihan.

Hikmah Haji

Banyak maksud-maksud Al-Quran dan hadis-hadis nabi, yang menghuraikan keistimewaan ibadat haji, umrah dan tanah suci Makkah, diantaranya ialah:

1.
Perbelanjaan yang dikeluaran untuk ibadat haji adalah seperti perbelanjaan untuk Fisabilillah, satu dirham digandakan dengan 700.


2.
Siapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tiada merosakkannya dengan sebab bersetubuh dan tidak membuat sebarang maksiat, maka pulangnya kelak adalah seperti hari yang ia dilahirkan oleh ibunya.


3.
Iringilah haji itu dengan melakukan umrah, kerana kedua-duanya akan menghapuskan kemiskinan dan dosa, laksana relau yang menghakis segala kotoran besi, emas dan perak. Tiadalah lain lagi ganjaran bagi haji yang mabrur melainkan syurga. Haji yang mabrur ialah pekerjaan haji yang tidak bercampur de­ngan dosa sejak dari ihram hingga tahallul.


4.
Para jemaah haji dan orang-orang yang umrah semuanya tetamu Allah, jika mereka berdoa kepada-Nya akan diperkenankan, jika mereka pohonkan keampunan akan diampunkan dosa mereka.


5. Baitullah ini adalah tunjang Islam, sesiapa yang keluar kerana mengunjunginya untuk mengerjakan haji atau umrah, ia dijamin oleh Allah, jika meninggal ia akan dimasukkan ke syurga-Nya, jika ia pulang semula ia pulang dengan ganjaran pahala dan harta.


6. Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat un­tuk orang-orang yang haji ke Baitullah, 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk yang sembahyang dan 20 rahmat untuk yang memandang kepada Kaabah.


7. Siapa yang bersabar menanggung satu saat panas siang hari di negeri Makkah, Allah akan jauhkan dia 100 tahun lamanya dari neraka Jahannam.


8. Siapa yang meninggal dalam pelayarannya ke tanah suci Makkah sama ada pada waktu pergi atau pulangnya, segala dosa tidak akan dipamerkan dan tidak akan dikira pada hari Kiamat. Dalam satu riwayat yang lain ia akan diampunkan.


9. Siapa yang bersabar menanggung sakit sehari di Makkah, akan Allah tuliskan pahala amal salih yang dikerjakan olehnya di luar Makkah sebanyak 60 tahun lamanya.


10. Siapa yang meninggal di negeri Makkah seolah-olah ia telah meninggal di langit dunia.


11. Setengah dari tanda-tanda haji yang diterima ialah; ia melakukan kebaikan dan amalan yang melebihi dari dahulu dan tidak lagi terdorong ke arah perkara-perkara maksiat.

Pengertian Sembahyang


Pengertian sembahyang dari segi bahasa ialah berdoa untuk kebaikan. Dari segi syara' pula ialah semua perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Ibadah sembahyang menjadi wajib kerana telah disabitkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Firman Allah, "Oleh yang demikian dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang demikian sifat-Nya), Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi Pertolongan".
(Al-Haj : 78)

Falsafah Haji

a. Haji Pembasuh Dosa

Melalui haji, seorang Islam itu boleh menambahkan keimanannya di samping membersih dosanya. Betapa tidak, haji itu perlu mengunjungi Baitullah dengan bersusah-payah dan berkorban jiwa serta tenaga. Menjemur sesaat saja di Makkah, Al­lah akan jauhkan ia 100 tahun lamanya dari api neraka.

Seseorang itu perlu berbelanja untuk menunaikan fardu haji, maka satu dirham yang dibelanjakan ke arah Fisabilillah, Allah akan membalasnya dengan ganjaran 700 kali ganda. Berapakah banyaknya wang yang manusia perolehi setiap hari / setiap bulan dan berapa banyak pula yang dibelanjakannya ke jalan Allah? Masih terlalu sedikit manusia berbelanja ke jalan Allah, sedangkan yang mereka belanjakan untuk tujuan lain yang mungkin menjadi maksiat dan dosa Iebih banyak dari itu. Dosa yang boleh membawa jalan ke neraka, sedangkan wang yang sedikit tadi pula mungkin boleh juga mencuci dosa yang banyak.

Mengenai pengorbanan pula, berapa banyak dosa manusia yang ditumpahkan ke bumi dengan berbagai maksiat dan melanggar perintah Allah. Sehingga ada yang tidak kenal yang mana suruhan Allah dan yang mana larangan-Nya kerana jahil. Mereka tidak tahu pula mana hukum syarak, hukum akal dan hukum adat. Akhirnya bergelumanglah mereka dalam dosa, dan kalau meninggal dunia dalam keadaan itu bererti sedang menghadapi dosa demi dosa bertimpa-timpa.

b. Konsep Hamba Allah

Semua kejadian di alam ini adalah makhluk Allah. Manusia juga adalah makhluk Allah yang bernyawa dan paling istimewa kerana diberi akal dan rasa serta boleh bertutur.

Jika manusia ini sering melupai Allah dengan tidak sujud kepada-Nya, maka taraf manusia ini samalah dengan makhluk Allah yang lain-lain, seperti ular, lembu dan berbagai-bagai lagi. Oleh itu, manusia hendaklah menaikkan tarafnya dari makhluk Allah kepada hamba Allah.

Hamba Allah adalah terdiri dari orang yang patuh segala arahan, tunduk dan sujud kepada-Nya, menjalani segala syariat yang diturunkan ser­ta melakukan ke seluruh rukun Islam yang diwajibkan. Adalah malang bagi mereka yang mati sama seperti matinya seekor ular dengan tidak melaku­kan kelima-lima rukun itu.

Sekarang ini ramai umat Islam yang mengakui diri mereka Islam, tetapi tidak sembahyang, tidak berpuasa, apatah lagi mereka yang kaya-raya tetapi tidak mahu membayar zakat dan menunaikan haji, maka kekayaan itu hanya akan membawa mereka ke neraka.

Adakah mereka ini mati sebagai seorang Islam? Tidakkah mereka ini telah melakukan dosa yang banyak? Dan siapa yang akan mengampuni dosa me­reka ini?

Maka sebagai jawapan, tunaikanlah haji seba­gai pembasuh dosa, kerana wang yang dibelanjakan akan diganda 700 kali pahala. Sembahyang di Masjidil Haram diganjari dengan 100,000 paha­la. Panas sesaat dijauhi 100 tahun dari api neraka. Semoga dengan mengunjungi Baitullah itu terhapus juga dosa mereka akhirnya.

c. Tafsiran:

Haji adalah satu rukun daripada amalan-amalan yang mesti dilakukan oleh umat Islam, ke­rana itu ia wajib dilakukan sekali seumur hidup. Gunanya ialah sebagai penghapus dosa yang banyak dan berat yang dilakukan oleh umat manusia. Nabi Allah Adam (a.s.) diturunkan ke bumi kera­na kesilapan termakan buah Khuldi atas hasutan syaitan. Ketika bertemu semula dengan Hawa di Padang Arafah setelah saling mencari selama 40 ta­hun. Mereka berdua telah menangis beberapa ta­hun pula, dengan memohon ampun kepada Allah di atas kesalahan yang kecil itu. Doa yang dibaca oleh baginda selama menyesali kesalahan itu ialah:


Ya Allah, kami telah menganiaya diri karni sendiri, jika Engkau tidak mengampuni dan kasihankan ka­mi, maka jadilah kami orang yang rugi.

Bagi kita yang sering melakukan dosa-dosa saban hari dan waktu, saban masa dan tempat, berapa kalikah kita beristighfar ke atas kesalahan itu? Oleh itu, kita perlu mendapat pengampunan dari Allah secara yang lebih menyeluruh dengan meng­unjungi Baitullah untuk bertawaf dan sa'i dan berjemur panas di Arafah seperti kita sedang berada di Mahsyar. Ia mesti dilakukan dengan wang titik peluh kita yang halal, sebagai pengorbanan harta dan jiwa serta tenaga kepada Allah dalam erti kata berjihad.

Ada beberapa hadis yang menerangkan kelebihan haji ini, di antaranya:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda:


Orang yang mengerjakan haji dan umrah ini adalah utusan yang datang kepada Allah menyempurnakan apa-apa yang ditanggung ke atasnya, kerana itu jika mereka memohon sesuatu akan diperkenankan untuk faedah dunia dan akhiratnya, dan jika mereka memohon keampunan dari segala dosa nescaya Allah mengampunkannya.

Rahmat yang akan diperolehi oleh orang-orang yang berada di Makkah adalah dinyatakan seperti maksud hadis berikut:

Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat (pertalian kasih sayang) untuk orang-orang di Baitullah, iaitu 60 rahmat untuk orang bertawaf, 40 rahmat un­tuk orang bersembahyang dan 20 rahmat untuk orang yang melihat Kaabah.

Dengan demikian, alangkah beruntungnya orang yang dapat melaksanakan haji dan umrah, di samping memohon ampun di atas dosa-dosa yang tidak pernah disedarinya, ia akan memperolehi rahmat dan pahala yang banyak.

Hukum sunat berkahwin

Pada pendapat jumhur ulama' kecuali Imam Syafie' mengatakan, perkahwinan dianggap sunat apabila seseorang lelaki itu berada dalam keadaan normal iaitu tiada apa-apa kebimbangan atau kemungkinan pada dirinya untuk melakukan zina sekali pun ia memilih untuk terus membujang dan tidak berkahwin. Di samping itu juga tiada kebimbangan atau kekhuatiran pada dirinya untuk melakukan kezaliman dan kekerasan terhadap isterinya jika dia berkahwin. Keadaa normal adalah situasi di mana kebanyakkan orang melangsungkan perkahwinan mereka.

Pada pendapat Imam Syafie beliau mengatakan, bagi perkahwian seseorang lelaki yang berada dalam keasaan normal hukumnya adalah harus iaitu dia bebas menentukannya sendiri sama ada memilih untuk terus berkahwin atau tidak. Imam Syafie menambah, walau bagaimana pun jika seseorang lelaki itu memilih untuk tidak berkahwin, adalah lebih baik dia menumpukan kepada beribadah ataupun menuntut ilmu.

Hukum makruh berkahwin

Sesuatu perkahwinan itu dianggap makruh apabila seseorang itu merasa bimbang bahawa berkemungkinan dia akan melakukan kezaliman atau kekerasan serta tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab atau memberikan keadilan ke atas diri isterinya tetapi kebimbangannya itu tidaklah sampai ke tahap pasti atau benar-benar yakin. Kebimbangan kepada sifat buruknya itu hanyalah berdasarkan kepada kemungkinan sahaja di mana ianya mungkin benar berlaku atau mungkin juga tidak akan berlaku.

Bagi pendapat Imam Syafie beliau mengatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi makruh apabila seseorang lelaki yang berkahwin itu berada dalam keadaan uzur yang serius, seperti faktor usia yang terlalu lanjut atau masalah kesihatan seperti mati pucuk ataupun mengidap penyakit yang tidak mungkin sembuh.

Takrif perkahwinan

Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud 'berkumpul, bercampur atau bercantum'. Pada istilah syara' pula bermaksud, 'Akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan jenis di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syara'.

Hukum haram berkahwin

Sesuatu perkahwinan itu akan menjadi haram atau berdosa jika dilangsungkan juga apabila individu tersebut berkeyakinan dia pasti akan melakukan kekerasan, kezaliman dan ketidakadilan ke atas isterinya serta mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Maksud pengabaian tanggungjawab di sini adalah seperti tidak dapat menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memberi pakaian, makanan, jaminan kesihatan dan keselamatan serta lain-lain keperluan asas yang sepatutnya seperti yang dituntut oleh syara' ke atas setiap suami.

Hukum fardhu berkahwin

Para ulama' menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi fardhu bila seseorang individu itu yakin bahawa jika tidak berkahwin dia pasti akan terlibat dalam kancah perzinaan. Bagi sesetengah individu pula sama ada dengan melakukan ibadah puasa atau ibadah-ibadah yang lainnya masih tidak dapat mencegah atau menahan keinginan nafsunya untuk melakukan zina, maka dalam situasi ini hukum melangsungkan perkahwinan menjadi lebih fardhu.

Menjaga kesucian dan maruah diri dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama adalah menjadi satu kewajipan setiap muslim. Individu yang berhadapan dengan situasi ini diwajibkan berkahwin demi untuk menjaga kehormatan diri dan agama, ini kerana perkahwinan sahajalah yang dapat menghalangnya dari melakukan perbuatan zina. Selain dari itu individu tersebut juga mestilah berkemampuan untuk menyempurnakan mas kahwin, nafkah untuk isteri serta lain-lain tanggungjawab sebagai seorang suami dalam sebuah rumah tangga seperti yang dituntut oleh syara'.

Sifat-sifat binatang aqiqah

Sifat-sifat binatang aqiqah adalah sama seperti binatang koban iaitu mestilah seekor ternakan yang sihat tubuh badannya, dipilih dari yang paling baik dan gemuk serta banyak daging. Tiada apa-apa kecacatan pada binatang tersebut seperti tempang atau kudung kakinya. Tiada sebarang penyakit berjangkit atau gila. Tidak rabun, buta sebelah mata atau dua belah matanya, tidak terlalu kurus yang menyebabkan kurang daging dan lemaknya. Rasulullah bersabda, 'Empat perkara yang tidak harus ada pada binatang koraban iaitu kabur matanya, sakit yang teruk, tempang sehingga menonjolkan tulang rusuknya seta tidak bersangatan kurus sehingga tiada lemak langsung'. (H.R. Ahmad)

Hukum bagi wanita yang ber'iddah

1. Haram meminang atau melamar wanita yang masih berada dalam 'iddah sama ada 'iddah talak yang boleh dirujuk atau 'iddah kematian suami. Bagi wanita yang berada dalam i'ddah yang boleh dirujuk pada hukumnya ia masih menjadi isteri orang.

2. Haram berkahwin dengan wanita yang masih berada dalam 'iddah, ini kerana hubungan dan ikatan perkahwinan itu masih belum putus sepenuhnya kerana waktu dan tempoh 'iddah belum berakhir. Sekiranya perkahwinan itu dilangsungkan juga, maka perkahwinan itu tidak sah dan terbatal. Demikian juga halnya dengan wanita yang berkahwin itu sedangkan ia masih menjadi isteri orang, maka wajib dipisahkan dari suami barunya itu.

Kewajipan ber'iddah bagi setiap wanita telah disyariatkan oleh agama bagi memelihara air mani suami supaya tidak bercampur dengan air mani lelaki lain demi menjaga nasab dan keturunannya. Setelah tempoh 'iddah berakhir, maka harus bagi sesiapa sahaja untuk mengahwini wanita tersebut.

3. Haram keluar rumah bagi wanita yang sedang ber'iddah. Bagi wanita yang kematian suami tidak dibolehkan keluar pada waktu malam kecuali pada perkara-perkara yang darurat tetapi tidak mengapa jika ia keluar pada waktu siang bagi menguruskan keperluannya kerana ia perlu keluar untuk mencari nafkah dirinya ataupun nafkah untuk tanggungannya jika mempunyai anak-anak.

4. Suami juga tidak boleh menghalau atau membenarkan isterinya keluar dari rumah selagi tempoh 'iddah belum berakhir. Tempat tinggal bagi wanita yang ber'iddah adalah di rumah suaminya sendiri dan ia tidak boleh keluar tanpa keizinan dari suaminya. Firman Allah, 'Wahai Nabi, apabila kamu (atau umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah pada masa mereka dapat memulakan 'iddahnya. Dan hitunglah masa 'iddah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai 'iddahnya) dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar (dari rumah) kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata'. (At-Talak : 1)